Tuesday, September 4, 2012

Taqwa & Perpaduan Asas Keselamatan Di akhir Zaman



Daripada Abi Najih 'Irbadh Bin Sariyah ra. berkata : " Telah menasihati kami oleh Rasulullah saw. akan satu nasihat yang menggetarkan hati kami dan menitiskan air mata kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata : Ya Rasulullah! Seolah-olah ini adalah nasihat terakhir sekali maka berilah pesanan kepada kami.Lalu baginda pun bersabda : " Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba.Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti ia akan melihat perselisihan yang banyak.Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para khulafa ar Rasyidin Al Mahdiyin (Khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat kepimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baharu (bid'ah) yang diada-adakan,kerana sesungguhnya tiap-tiap bid'ah itu adalah sesat

HR Abu Daud dan Tirmizi

Hadis di atas mengandungi satu pesanan yang amat berharga dari Rasulullah saw,bagi umatnya terutama apabila mereka berhadapan dengan kacau bilau dan perselisihan faham seperti yang berlaku pada zaman kita ini.Rasullullah saw telah awal-awal memberikan kita pesanan tentang perkara yang bakal belaku di akhir zaman.Zaman dimana berlakunya banyak kacau bilau,huru hara,fitnah dan sebagainya.Apa kesimpulan mudah yang dapat kita pelajari dari hadis ini adalah,apabila berlakunya kacau bilau dan perselisihan faham,kunci utama yang perlu kita pegang disini adalah,kita sandarkan,selesaikan semua permasalahan berlandaskan hukum Allah dan sunnah Nabi saw.

Nabi saw juga menekankan bahawa,dalam menempuh arus kemodenan yang banyak duri dan liku seperti zaman sekarang ini,ketaqwaan kepada Allah perlulah ada bagi setiap Muslim.Ketaqwaan timbul dari hati yang ikhlas untuk mendapat keredhaan Allah dalam setiap perbuatannya.Seseorang yang bertaqwa kepada Allah akan tidak mudah terpesong dan tidak mudah terpengaruh dengan apa sahaja halangan yang terdapat pada akhir zaman ini.Tidak dinafikan dengan kepesatan teknologi dunia tanpa sempadan yang ada sekarang,hanya ketaqwaan kepada Allah sahaja yang dapat menyelamatkan seseorang Muslim itu dari terjebak dengan fitnah & dugaan pada akhir zaman nanti.Oleh itu,perkemaskan aqidah dan persiapkan diri dengan ilmu yang cukup untuk menghadapi semua ini.Bukankah Nabi saw pernah bersabda : 

"Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas setiap muslim,"
HR Ibn Majah dan Abu Ya'la

Jadi dapat juga disimpulkan disini bahawa Nabi saw menekankan bahawa pentingnya menuntut ilmu sehingga diwajibkan keatas tiap muslim.Sesungguhnya ilmu Allah itu sangat luas.Jika semua air dilaut dijadikan dakwat untuk menulis ilmu Allah itu,nescaya tidak cukup untuk menulisnya bahkan,hanya sedikit sahaja dari keseluruhan ilmu Allah swt.Oleh itu ilmu juga sangat penting dalam menghadapi keadaan seperti yang disebutkan dalam hadith tersebut.

Kita juga diseru untuk mentaati pemerintah yang menguruskan hal ehwal kaum muslimin walaupun mereka terdiri dari golongan hamba,yakni SELAMA MEREKA BERPEGANG DENGAN AL-QURAN & SUNNAH NABI SAW dan para sahabat.Kerana apabila kita patuh pada mereka yang mempunya sifat ini,beerti kita patuh pada Al-Quran & hadith.Tapi sekarang kita lihat ramai golongan pemimpin Islam sendiri yang menolak hukum Islam.Satu huruf quran kita tolak boleh jatuh kafir.Inikan pula satu ayat?Kalau tolak hukum Quran maknanya tolak Islam.Kalau tolak Islam maknanya tolak Rasulullah saw.Kalau tolak Rasulullah saw,maknanya tolak Allah.Apa hukumnya menolak Allah?Tepuk dada tanya iman.
Tidak perlu untuk dikaji & menambah baik hukum Allah.Allah Maha bijaksana & mengetahui.Umpama 
menumpang dirumah orang,ikut peraturan rumah orang.Sama juga menumpang di Bumi Allah,ikut peraturan Allah.Renungilah hadith Nabi saw yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad : 

Daripada Abdullah bin Mas'ud r.a,Nabi SAW bersabda yang bermaksud  :
"Tiada ketaatan kepada makhluk pada menderhakai Allah Azzawajalla. "
 HR Imam Ahmad

Nabi saw juga telah mengingatkan kita bahawa gugurlah kewajipan kita mentaati kepada 'mereka' yang tidak mentaati Allah SWT.
Siapa 'mereka' itu ?Para ulama membahaskan golongan 'mereka' itu termasuklah golongan pemimpin,ketua,panglima,suami,ketua,pengerusi,penguasa dan yang setaraf dengannya.Oleh itu gunakanlah akal fikiran waras yang dikurniakan oleh Allah ini,untuk memilih siapa yang dapat memimpin kita menuju jalan kebenaran di akhir zaman yang penuh dengan fitnah dan huru hara ini.

Nabi saw juga menyebut " dan gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baharu (bid'ah) yang diada-adakan,kerana sesungguhnya tiap-tiap bid'ah itu adalah sesat " .Perkataan  " dan gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham " menunjukkan bahawa penekanan yang sangat kuat diperlukan dalam berpegang pada sunnah Rasulullah saw untuk menghadapi zaman huru hara kini.Pada zaman ini juga kita akan menyaksikan banyak bid'ah dholalah iaitu apa jua fahaman dan amalan yang ditambah kepada agama Islam yang sempurna ini,walhal tiada satu dalil atau asal dan contoh dari agama.Sekiranya ada asal atau dalil,maka perkara baru itu tidaklah disebut bid'ah menurut syarak tetapi dinamakan bid'ah hasanah.

Walaupun begitu apa yang perlu kita renungkan dari hadith ini dalah,kunci untuk menghadapi dunia yang penuh dengan huru hara ini adalah seperti yang dikatakan sebelum ini iaitu ketaqwaan kepada Allah,berpegang pada Al-Quran & sunnah serta menjauhi perkara bid'ah.
Oleh itu jauhi fahaman atau perlakuan suka mencari perbezaan & mencari kesalahan sesama umat Islam.Sama-sama kita muhasabah diri,duduk sama berbincang kerana Aqidah kita satu iaitu mentauhidkan Allah swt.Ketepikan fahaman masing-masing.Cari titik persamaan.Kukuhkan ukhwah,tingkatkan taqwa.

Bersama-samalah kita kembali kepada Al-Quran & Hadith

Dari Ibnu Abbas r.a Nabi saw bersabda :

"Pertolongan Allah bersama jemaah"
 HR Al-Tirmizi


Bersatu kita teguh,bercerai kita roboh

Wallahua'lam




0 comments:

Post a Comment

Advertise

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More