Friday, September 21, 2012

Hantaran Rendah Menjatuhkan Maruah?

Hantaran Rendah Menjatuhkan Maruah? 

 

barangkali dengan menyuarakan sesuatu yang terbuku di hati itu mampu dilihat bersifat jujur bagi sesetengah manusia. malangnya, tidak semua. kerana bilangan yang minoriti itu punya lebih tusukan yang lebih bisa berbanding majoritas yang berfikiran ringkas, leweh dan remeh. itu secara ringkas, tapi tidak lagi spesifik. bicaranya mudah, setiap lapangan pemikiran harus dibincang dengan tuntas, bukannya mengikut amukan emosi atau rantaian pengalaman yang bersifat peribadi.

ana merujuk kepada soal perkahwinan dan hantaran yang sedang hangat diperdebatkan. boleh dikatakan kesemua lelaki sangat bersetuju dengan pendapat merendahkan kadar dan nilai hantaran. ini pemikiran ringkas pihak lelaki yang hidup secara global dengan realiti kehidupan masa kini yang terlalu menekan dari aspek ekonomi. ana tidak menyatakan bahawa pandangan itu salah, tidak juga mengiyakan bahawa pendapat itu selayaknya betul. tapi secara logiknya, kewajipan menyediakan secara total itu mas kahwin dan hantaran itu pula berbentuk hadiah. keikhlasan dalam memberi hadiah itu lebih dituntut berbanding dengan mempersembahkan hadiah itu dalam bentuk melampau dan menjerut tekak. sila fahami kata-kata ana tanpa prejudis. harus difahami secara mutlak, bahawa antara tuntutan yang memudahkan itu tidak sewenang-wenangnya melayakkan lelaki mengambil pemikiran mudah bahawa perkahwinan itu seharusnya ringkas dan menjimatkan. tetapi, realitinya masyarakat zaman ini (khususnya perempuan dan keluarga perempuan) menuntut lebih; tidak dari segi ekonomi semata-mata, malah mendesak dari sudut keperluan rohani dan juga jasmani terutama apabila memikirkan soal masa depan yang mahu ditempa bersama-sama. cuba kita bayangkan keadaan ini -- hantaran rendah, mudah dan ringkas, tetapi si lelaki pula lemah dari sudut ilmu rumahtangga dan terus-terusan gagal menjunjung kesihatan jasmani dari sudut pemakanan yang tak terjaga, diri yang tidak terurus dan tubuh badan yang langsung tidak mencerminkan kehebatan dan kewibawaan seorang bakal suami (gemuk, buncit, lelah dan sebagainya). maka, kalian nampak isunya sekarang?

*tarik nafas*

harus diakui bahawa lambakan hutang yang dipupuk sejak dari bangku pembelajaran menjadi faktor utama yang merencatkan pembangunan ekonomi muda mudi masa kini. ditambah pula dengan desakan kualiti pekerjaan, keperluan hidup yang semakin menyesakkan dan taraf hidup yang mencanak tingkatannya. perbelanjaan yang sekiranya dilakukan secara berhemah juga tidak mampu menyumbang kepada simpanan yang diperlukan dalam melayari tahap pertama dalam membina institusi rumahtangga. jika dilihat dari sudut akademia, hutang pembelajaran, kenderaan, sewa rumah, makan pakai, belanja harian, dan tanggungjawab terhadap ibu bapa dan keluarga memungkinkan satu realiti yang mustahil bagi muda mudi lelaki milenia ini untuk menaruh harapan dalam pembentukan gagasan kekeluargaannya sendiri dalam masa terdekat. justeru, pihak lelaki akan lebih mengutamakan sudut ekonomi yang mapan (berusaha siang dan malam mengumpul dana dan harta) sebagai jaminan utama dalam menjejakkan tapak pada tahap pertama dan mengambil tempoh yang amat lama. lantaran itu, aspek ilmu rumahtangga, ilmu agama dan hubungan sesama manusia akan diletakkan pada tahap kedua dan kurang diambil perhatian; dan hanya akan diambil serius sesudah sesebuah institusi kekeluargaan itu telahpun dibentuk. maka, apa jaminan bahawa langkah kedua itu bakal dihiasi dengan indah? atau sekadar impian yang ideal tetapi realiti sebenarnya lebih mencabar kerana perlu lebih kepada penyelesaian beban keterhutangan yang serius dan perbelanjaan yang lebih setelah punya isteri dan anak-anak?

bagi pihak perempuan, mereka mengandaikan dengan melengkapkan permintaan dari sudut ekonomi itu membuktikan bahawa si lelaki adalah cukup layak menanggung kehidupan akan datang (secara terjamin) sekaligus melayakkan status diri seseorang lelaki itu dicop dan dilabel sebagai khalifah keluarga yang unggul. malangnya, ideologi seperti itu hanya wujud dalam alam fantasi kerana sekiranya mengikut realiti zaman ini yang rata-rata setiap satu perkara itu punya nilai yang naik memuncak. persoalannya jelas, antara legasi tanggungjawab secara primitif atau perkongsian tanggungjawab dan pemahaman secara kolektif?

*pandang jauh*

tidak akan jatuh maruah lelaki sekiranya mengaku kalah, dan tidak akan rebah maruah perempuan jika sudi bersama-sama berlelah dalam menggalas beban kewangan dan tanggungjawab secara bersama. ini pembuktian jelas tentang konsep tolak ansur dan esprit-de-corps dalam rumahtangga dan mendidik diri agar tidak meminta lebih dari apa yang mampu dipersiapkan. bagaimanapun, pemikiran ini tidak harus diambil enteng kerana keharusan itu adalah lebih diletakkan pada pihak lelaki dalam menjana ekonomi rumahtangga dan menimbunkan koleksi-koleksi ilmu dunia dan akhirat bagi keperluan harian isteri dan anak-anak tanggungannya dan tidak sekadar berpuas hati sekiranya isteri dan anak-anak tanggungannya berlapang dada tidak meminta lebih. adalah digalakkan bagi pihak suami untuk terus cuba sedaya upaya menaiktaraf kehidupan keluarganya saban tahun ke daerah keselesaan yang lebih terjamin. itulah tuntutan agama yang sebenarnya, tanpa rasa terbeban -- tapi dilaksanakan tanggungjawab dengan penuh keikhlasan dan kasih sayang.

menerbitkan konklusi tidak semudah yang disangka kerana ana juga lelaki. susah untuk tidak condong kepada satu pihak sahaja. namun begitu, ideologi yang ana kongsi bersama ini mengajak kita semua untuk cuba sedaya upaya meringankan beban pihak lelaki supaya tahap pertama dan kedua itu dapat dijayakan dengan penuh kecemerlangan sekaligus tanpa menidakkan hak pihak perempuan, apatah lagi merendahkan martabat kaum ibu yang amat disanjung tinggi dalam agama dari segi pengorbanan dan keistimewaan mereka. ini bukan lagi perbincangan dalam menentukan siapa yang salah dan siapa yang betul, tetapi mewujudkan suasana yang harmoni agar kita sama-sama dapat menerbitkan lambakan generasi muda yang mampu berfikir secara kritis dan kreatif dalam membudayakan konsep kekeluargaan Islam sebagai isi utama dalam melayari bahtera rumahtangga yang sangat mencabar dan penuh dugaan.

bi-iznillah =)

vicissitude prevail

http://hizwan-nizam.blogspot.com/

0 comments:

Post a Comment

Advertise

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More